Debu-Debu Hisbah
Akmal melemparkan pandangannya ke luar. Kini bumi Anbiya itu merangkak menerjah maghrib. Biasan senja mula menunjukkan wajahnya. Akmal berguling di atas katilnya, bosan. Sejak tamat peperiksaan kira-kira dua minggu lepas, dia mula berasa bosan. Teman-temannya masih mempunyai beberapa kertas peperiksaan. Akmal bingkas lalu melangkah ke luar. Dia memerhati beberapa orang warga Arab yang sedang bekerja di bawah. Tiba-tiba kedengaran loceng rumahnya berbunyi. Akmal melangkah ke ruang tamu. Kelihatan Azmi, teman serumahnya sudah membuka pintu.
“Ehh, Ust Daus dengan Ust Mukmin, masuklah,” pelawa Azmi. Akmal melangkah ke dapur. Ust Mukmin masuk diikuti dengan Ust Daus. Tangan mereka menjinjing dua bungkusan plastik hitam. Mereka duduk di ruang tamu.
“Mana ahli bait yang lain?” tanya Ust Mukmin. Azmi duduk di sisi Ust Daus. Akmal menatang dulang yang berisikan seteko air teh dan beberapa biji gelas.
“Huzair tak habis lagi imtihan, ada paper pharmaco, Ali pula ada syafawi Al-Quran, tak balik lagi,” jawab Akmal sambil meletakkan dulang. Ust Daus mengangguk faham. Tangannya membuka bungkusan plastic berwarna hitam. Dua ekor ayam bakar bersama beberapa bekas tohinah dan beberapa keeping roti isy menjadi tatapan mereka.
“Pergi ambil periuk dan pinggan, kita tunggu kawan yang lain balik,” arahnya. Azmi meneguk air liur lalu bangkit menuju ke dapur. Akmal duduk mengadap Ust Mukmin.
“Laaa, kenapa susah-susah ni Ust? Ana baru je masak tadi pagi,” ujar Akmal. Ust Mukmin tersenyum.
“Yang ni bukan ana beli, Akmal, yang ni Ust Daus beli, katanya nak buat usrah ilmiah kat rumah Akmal, ana try call handphone anta tadi, tapi tak dapat,” terang Ust Mukmin. Akmal menuang air ke dalam cawan.
“Ohh, handphone ana hilang, entah macam mana boleh hilang pun ana tak tahu, kot ada mambang kot dalam rumah ni, ana tak tahu,” balasnya sambil menghulurkan gelas. Ust Daus menyambut gelas yang dihulurkannya.
“Syukran, nah Ust Mukmin, ana puasa hari ni,” ujar Ust Daus sambil menghulurkan gelas kepada Ust Mukmin. Ust Mukmin menyambutnya lalu meletakkan di atas meja.
“Ehh, Ust Daus puasa? Maalishlah, ana tak tahu,” pohon Akmal. Azmi muncul bersama sebiji periuk dan beberapa biji pinggan. Ust Daus meletakkan ayam ke dalam periuk. Perbualan terhenti seketika.
“Ermm, ni Akmal, anta tahu dah yang sahabat anta, Ust Fadhli dah kahwin di Malaysia?” soal Ust Daus. Azmi membantunya menyusun roti di dalam pinggan.
“Tahu dah, dia hantar jemputan melalui Facebook, dengar kata, isterinya kawan dia masa sekolah dahulu, betul ke?”
“Kalau apa yang ana dengar, macam itulah, apa-apa pun dengarnya kahwin free, semua keluarga pihak lelaki tanggung,”
“Yelah, ana pun dengar macam tu, nak buat macam mana, rezeki dia, dah kahwin free, dengar-dengar pula, isterinya dah bekerja di universiti sebagai pensyarah, dah ada rumah dengan kereta, senanglah suami,” celah Azmi.
“Aisshhh, tak macam tu, nafkah suami tetap kena beri walaupun isteri dah bekerja,” balas Ust Daus.
“Yelah, tapi kalau dah isteri bekerja, senanglah suami, duduk belajar je, tak perlu fikir masalah duit,”
“Belum tentu lagi Azmi, walaupun dah bernikah, suami tetap perlu beri nafkah mengikut kemampuan suami, sebab tu adalah tanggungjawab suami terhadap isteri,cuba kita lihat, berapa banyak pernikahan yang hancur akibat suami mengabaikan tanggungjawab mereka?” hujah Ust Mukmin. Ust Daus mengangguk setuju.
“Tapikan Ust, kalau dah isteri kerja,suami tak kerja lagi, macam mana nak beri nafkah?”
“Suami memberi nafkah sekadar mana yang dimampunya, bukannya nafkah yang perlu beri merangkumi emas intan berlian semua, kalau nak beri yang tu, jual tanah kat kampong pun belum tentu lepas lagi,” terang Ust Mukmin. Perbualan bersambung sehingga beberapa ketika.
Bersambung ke Part 2