*Ditulis oleh Amal Ahmed Albaz, rakyat Mesir yang belajar jurusan kewartawanan di Universiti Ryerson. Beliau terbang ke tanah airnya pada musim panas ini dengan mengharapkan percutian yang tenang bersama keluarganya. Apa yang beliau dapat adalah sebaliknya.
——————————————————————-
Apabila poketnya dikosongkan, yang dijumpainya ialah kertas putih yang mempunyai kesan darah. Ia merupakan nota daripada anak perempuannya yang berumur 10 tahun, “Ayah, selamat pulang ke rumah dengan selamat. Saya tunggu ayah.” Tetapi penantiannya sia-sia kerana ayahnya tidak pernah kembali. Khaled Nassar telah syahid.
Muhammad Mursi, presiden pertama yang dipilih secara demokrasi dalam sejarah Mesir, berikutan himpunan ‘Arab Spring’ 2011. Namun, selepas lima bulan berada dalam pejabat, pembangkang membuat himpunan pada November 2012. Pada hari ulang tahun Mursi memenangi pilihan raya, 30 Jun, satu perhimpunan berskala besar diadakan di Medan Tahrir, Kaherah.
Pada 3 Julai, Jeneral angkatan tentera Mesir, Abdul Fatah Al-Sisi memaksa Mursi untuk keluar dari pejabatnya selepas memberikan amaran untuk campur tangan dalam masa 48 jam.
Tentera juga menggantung perlembagaan yang dirangka ketika pemerintahan Mursi, dan melantik hakim mahkamah tinggi Adly Mansour sebagai presiden dan menjanjikan pilihan raya dengan segera.
Dan aku berada di sana ketika awal hari yang cerah.
Aku tiba di Mesir pada jam 6 pagi, pada hari yang sama. Aku sangkakan aku akan pergi ke percutian – bukannya peperangan.
Aku berharap untuk menikmati cuti musim panas ini dalam hidupku. Dan aku dapat. Cuma bukan seperti yang aku bayangkan. Bukannya pergi ke pantai, tetapi aku menyertai himpunan di Medan Rabaah. Ya, medan yang dikatakan oleh media Mesir sebagai ‘tempat pengganas’. Aku seorang remaja berumur 18 tahun yang menonton filem cinta sambil memegang tisu menangis. Aku sukakan minuman cokelat dan aku sukakan bau rumpur selepas hari hujan. Dan aku bukan pengganas.
Medan Rabaah itulah rumah kamu jika kamu merupakan anti-kudeta.
Di situlah ribuan, dan ada hari mencecah jutaan, akan membuat himpunan bantahan.
Kamu akan melihat pasangan-pasangan dengan beg-beg mereka sepanjang medan seolah-olah pergi ke destinasi bulan madu.
Kamu akan menjumpai yang paling dalam kalangan yang kaya dan yang paling miskin dalam kalangan yang miskin.
Kamu akan menjumpai orang-orang Kristian dan kamu akan menjumpai orang-orang Islam. Kamu akan melihat jalan yang dahulunya dipenuhi dengan kereta kini diliputi oleh khemah-khemah. Setiap bandar, kumpulan, atau organisasi ada kawasannya tersendiri, tetapi kamu akan dialu-alukan untuk pergi sahaja yang kamu suka.
Aku ingat ciptaan terbaru mereka membuat khemah setinggi dua tingkat daripada kayu. Kamu akan melihat plastik hitam disangkut di dalam khemah untuk meletakkan kasut. Kamu akan melihat orang-orang membersihkan jalan-jalan di Rabaah — ia adalah satu keajaiban di Mesir. Kamu seolah berada di Utopia (keadaan yang terlalu sempurna).
Aku harap aku dapat menyimpan semangat Rabaah ini dalam buih-buih dan sebarkannya di seluruh dunia.
Bayangkan kanak-kanak memercik kamu dengan air supaya kamu dapat menghadapi hari yang panas di Mesir.
Wanita menghulurkan roti sandwic jika mereka nampak kamu kelaparan. Ribuan, dan kadang jutaan, bertepuk tangan serentak, melaung menentang penindasan. Bendera dikibarkan dengan megah mengikut angin. Bayangkan keadaan yang aman itu. Bayangkan kesatuan itu.
Tetapi, sebaik sahaja kamu melangkah keluar dari sempadan Rabaah, kamu seperti berada di dunia baru.
Bayangkan helikopter yang memekakkan telinga kamu, terbang melintasi kepala siang dan malam. Tentera, kereta kebal yang menghalang jalan. Dalam teksi, kamu tak boleh mengeluarkan pendapatmu tentang politik, kerana jika kamu berbuat sedemikian, kamu mungkin tidak akan dilihat lagi.
Tentera kamu sendiri menentang kamu, dengan setiap pos pemeriksaan di setiap beberapa kilometer. Bayangkan negara ini dibahagi-bahagikan.
- Rahsia suri rumah dapat barang murah setiap hari LIHAT SINI <<==
Semasa tragedi pembunuhan di Medan Rabaah pada 14 Ogos lalu, Khaled merupakan salah seorang daripada lebih 2000 yang syahid dan 10000 yang cedera dalam tempoh 10 jam.
Dia ditembak di jantung dengan peluru bersaiz 7.2 cam — yang bersamaan dengan saiz jari manusia. Peluru sebegini biasanya digunakan di dalam zon perang.
Ini adalah pertama kali dalam sejarah Mesir, tentera dan polis menyerang rakyatnya sendiri dalam skala yang besar sepanjang tempoh tersebut. Sejak rampasan kuasa, Mesir menjadi negara perang.
Jika bukan kerana Nassar yang tidak sabar-sabar untuk menghulurkan tangan (untuk membantu), pasti jantungnya masih berdegup dan aku masih mempunyai ahli keluargaku ini. Khaled merupakan sepupu ibuku. “Kami baru sahaja selesai menunaikan solat apabila Khaled mendesak ingin pergi ke Jambatan 6 Oktober untuk membantu mengangkat jenazah,” kata abangnya, Ahmad Nassar.
“Dia mahu melihat sendiri apa yang berlaku. Apa yang kami dengar hanyalah bunyi tembakan.” Ini adalah pertama kali Ahmad Nassar pergi ke perhimpunan bersama Khaled.
“Aku ke sana kerana satu sebab,” katanya. “Tuhan menghantar aku ke sana untuk memastikan seseorang berada dengan Khaled apabila dia mati (syahid). Jika tidak, jenazahnya mungkin hilang dan mungkin dibakar oleh tentera/polis. Mereka membakar jenazah. Aku melihatnya dengan mataku sendiri.”
Pada hari tragedi pembunuhan beramai-ramai di Rabaah, tentera Mesir telah membakar hospital yang masih ada di dalamnya orang-orang yang tercedera, mati malah yang masih hidup.
Masjid Rabaah, juga dibakar, walaupun masih terdapat banyak jenazah dan ahli keluarga yang sedang menuntut jenazah.
Sebelum mengetahui Khaled akan menemui ajalnya, Nassar menerima panggilan telefon daripada adik-beradik perempuannya, Hanaa, bertanyakan jika mereka dalam keadaan baik. Hanaa telah menerima satu panggilan telefon dari seseorang berdasarkan panggilan terakhir yang ada di telefon Khaled. Pemanggil itu memberitahunya Khaled telah mati.
Selepas mencari di setiap jambatan tanpa apa-apa hasil, Nassar pergi ke hospital lapangan dan menjumpai mayat Khaled. Hospital itu sangat padat dan mereka telah kehabisan bekalan perubatan.
Memikirkan Khaled masih hidup, Nassar menunggang motosikal membawa jenazah Khaled yang dipenuhi darah di atas bahunya dan pergi ke hospital terdekat yang lain. “Aku tidak pernah melihat begitu banyak mayat,” katanya.
“Tiada ruang untuk sesiapa pun berdiri. Darah merata-rata dan kesedihan di mana-mana.”
“Aku menunggu jam demi jam,” kata Nassar. Hari berikutnya, koroner (doktor bedah siasat) tidak muncul-muncul. Untuk mempercepatkan urusan, mereka hanya diberi dua pilihan: ambil sahaja jenazah dan pergi, tanpa ada rekod tentang kematiannya, atau menandatangani surat bahawa mayat tersebut telah membunuh diri.
Kedua-dua pilihan tersebut sebenarnya membuatkan pihak berkuasa dapat mengurangkan jumlah korban kematian.
“Kami menggunakan peguam untuk mendapatkan pengesahan kematiannya secara sah (bukan dengan dua pilihan tersebut),” kata Nassar. Mereka akhirnya dapat membawa pulang jenazah Khaled dan dikebumikan. Kebanyakan mangsa tidak bernasib baik sebegini.
Khaled berumur 39 tahun. “Khaled bukan hanya mati, malah dia dibunuh,” kata Nassar. “Khaled dibunuh kerana dia menyuarakan apa yang ada di mindanya, mahu menyelamatkan anak-anaknya kerana tidak mahu revolusi 25 Januari (2011) itu dicuri.” Isteri Khaled sedang mengandungkan anak mereka yang kedua.
Sumber: The Eye Opener
Ikuti sambungan seterusnya, bahagian II: Sini
——————————————————————-
Kenali penulis artikel ini di sini:
Facebook: https://www.facebook.com/amal.albaz
Twitter: https://twitter.com/AmalAlbaz
Blog: http://amalalbaz.wordpress.com/
Youtube: http://www.youtube.com/user/AmalAhmedAlbaz