Imam Malik bin Anas lahir di Madinah pada tahun 93H/711M. Beliau dilahirkan di dalam sebuah kota yang merupakan tempat tumbuhnya Islam dan berkumpulnya generasi yang telah dididik oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. Sejarah keluarganya juga ada hubung kait dengan ilmu Islam, dengan datuknya sendiri adalah seorang perawi dan penghafal hadith yang terkemuka. Pakciknya juga, Abu Suhail Nafi’ adalah seorang tokoh hadith kota Madinah pada ketika itu dan dengan beliaulah Malik bin Anas mula mendalami ilmu-ilmu agama, khususnya hadith. Abu Suhail Nafi’ ialah seorang tabi‘in yang sempat menghafal hadith daripada ‘Abdullah ibn ‘Umar, ‘Aisyah binti Abu Bakar, Ummu Salamah, Abu Hurairah dan Abu Sa‘id al-Khudri r.a.
Selain Nafi’, Imam Malik bin Anas juga duduk berguru dengan Jaafar as-Shadiq, cucu kepada al-Hassan, cucu kepada Rasulullah s.a.w. Imam Malik juga duduk belajar di Masjid Nabawi, Madinah dan berguru dengan Muhammad Yahya al-Ansari, Abu Hazim Salmah ad-Dinar, Yahya bin Saad dan Hishambin ‘Urwah. Mereka ini semua ialah anak murid kepada para sahabat Rasulullah s.a.w. Suasana kehidupan Imam Malik bin Anas di Madinah yang ketika itu dipenuhi dengan para tabi‘in amatlah menguntungkannya. Para tabi‘in ini adalah mereka yang sempat hidup bersama sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka sempat belajar, mendengar hadith dan mengamalkan perbuatan para sahabat secara terus. Inilah antara sebab kenapa Imam Malik bin Anas tidak pernah meninggalkan Madinah kecuali apabila pergi menunaikan ibadat hajinya.
Imam Malik bin Anas kemudiannya mengambil alih peranan sebagai tokoh agama di Masjid Nabawi, Madinah. Ajarannya menarik sejumlah orang ramai daripada pelbagai daerah dunia Islam. Beliau juga bertindak sebagai Mufti Kota Madinah pada ketika itu. Imam Malik juga ialah antara tokoh yang terawal dalam mengumpul dan membukukan hadith-hadith Rasulullah s.a.w di dalam kitabnya al-Muwattha’. Kitabnya ini menjadi hafalan dan rujukan orang ramai sehinggakan ia pernah dikatakan oleh Imam as-Syafi‘e sebagai: “Tidak wujud sebuah buku di bumi yang paling hampir kepada al-Quran melainkan kitab Imam Malik ini.”
- Rahsia suri rumah dapat barang murah setiap hari LIHAT SINI <<==
Antara tokoh besar yang duduk belajar bersama Imam Malik ialah Imam Abu Hanifah dari Kufah, Iraq. Selain itu diriwayatkan juga bahawa sebanyak 1,300 tokoh-tokoh lain yang duduk bersama menuntut ilmu bersama Imam Malik di Masjid Nabawi. Antaranya termasuklah Muhammad bin Idris, yang kemudiannya terkenal dengan gelaran Imam as-Syafi‘e. Ketinggian ilmu Imam Malik bin Anas pernah diungkap oleh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai: “Imam Malik adalah penghulu daripara penghulu ahli ilmu dan beliau pula seorang imam dalam bidang hadith dan fiqh. Siapakah gerangan yang dapat menyerupai Imam Malik?”
Imam Malik pernah dihukum oleh gabenor Kota Madinah pada tahun 147H/764M kerana telah mengeluarkan fatwa bahawa hukum talaq yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan Abbasid sebagai tidak sah. Kerajaan Abbasid ketika itu telah membuat fatwa sendiri bahawa semua penduduk perlu taat kepada pemimpin dan barangsiapa yang enggan akan terjatuh talaq ke atas isterinya. Memandangkan rakyat yang lebih taatkan ulama’ daripada pemimpin, pemerintah Abbasid telah memaksa Imam Malik untuk mengesahkan fatwa mereka. Imam Malik enggan, malah mengeluarkan fatwa menyatakan bahawa talaq sedemikian tidak sah (tidak jatuh talaqnya). Imam Malik ditangkap dan dipukul oleh gabenor Madinah sehingga tulang bahunya patah dan terkeluar daripada kedudukan asalnya. Kecederaan ini amatlah berat sehinggakan beliau tidak lagi dapat bersolat dengan memegang kedua tangannya di dada, lalu dibiarkan sahaja terkulai di tepi badannya.
Imam Malik kemudiannya dibebaskan dari penjara dan beliau terus kembali mengajar di Madinah sehinggalah beliau meninggal dunia pada 11 Rabiul-Awwal, tahun 179H/796M, ketika berusia 86 tahun (Hijrah). Di antara anak-anak murid beliau yang masyhur ialah ‘Abdarrahman bin al-Qasim al-Tasyri (191H/807M), Ibn Wahhab Abu Muhammad al-Masri (199H/815M) dan Yahya bin Yahya al-Masmudi (234H/849M).