Saya kecewa. Saya tidak pernah berhenti berdoa dengan harapan suami akan menyayangi saya. Wanita dan Kata-Kata Cinta Saya bersimpati dengan kemelut perasaan yang sedang dihadapi oleh Puan Lynn. Saya akur, bukan semua wanita bertuah dapat menikahi jejaka yang “cukup” serba-serbi. Seorang suami yang soleh dan bertakwa, pandai berlawak jenaka, mahir memikat dengan aksi dan gaya yang menambat sukma, juga bertanggungjawab terhada? anak dan isteri bawah seliaannya. Tidak semua lelaki memiliki pakej lengkap sebegini! Kerana itu, saya melontarkan satu persoalan” “Antara suami yang romantik dan bertanggungjawab, yang manakah menjadi dambaan?” If Man Could Talk If Man Could Talk… Demikian satu judul buku yang dikarang oleh Dr. Alon Gratch. Menurutnya, lelaki bukan tidak boleh berbicara, cuma mereka lebih mudah berkata-kata dengan bahasa yang berbeza. Tidak sebagaimana kaum perempuan yang lebih terbuka dengan perasaan mereka, sebaliknya kebanyakan lelaki berasa sukar “membuka” diri untuk orang lain. Kasih sayang seorang suami bukan hanya boleh dinilai dengan kata-kata cinta dan ucapan mesra semata-mata (verbal), bahkan lebih penting daripada itu. Ia harus dibuktikan melalui perbuéitan dan tingkah laku (nonverbal). Oleh sebab itu, lelaki lebih mudah mewakilkan Iuahan kasihnya melalui sejambak bunga atau paling tidak mereka akan memilih sekeping kad yang telah dipenuhi dengan berbaris ayat dan madah pujangga supaya ruang untuk mereka menulis menjadi lebih terhad. Jadi saya berpandangan, seorang isteri yang sentiasa menginginkan kebahagiaan dan ketenangan dalam rumah tangganya pasti akan berusaha mengerti, meneliti secara jujur dan yakin diri tanda-tanda cinta seorang suami terhadap isteri dari pelbagai sudut. Kasih sayang yang boleh diimplementasikan dengan kalimah indah dan menyejukkan jiwa, boleh juga dijelmakan dalam bentuk perilaku yang baik, pandangan yang mendamaikan, sentuhan dan belas ihsan. Paling utama, peranan dan tugasnya sebagai ketua keluarga telah dilaksanakan sebaik-baiknya. Walau tanpa bicara, ia cuba menterjemahkan perasaan dalamannya yang dipenuhi rasa cinta dan kasih mesra terhadap isteri dan cahaya matanya dengan cara yang diyakini. Sungguhpun cara ini mungkin kelihatan agak sederhana pada penilaian ramai wanita, tetapi ia tetap bernilai, lebih-lebih lagi dalam sebuah institusi keluarga. Pandanglah keadaan “tanpa suaranya” ini sebagai satu kelebihan kerana seorang suami yang memiliki upaya sebegini ialah seorang suami yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Dia sebenarnya seorang yang penyayang tetapi kasihnya ditunjukkan dalam diam. Isteri Proaktif Saya bersetuju, andai menginginkan suami romantik, tidak salah jika isteri yang memulakan langkah pertama. Bersikap
proaktif dalam persoalan rumah tangga demi kebahagiaan ikatan perkahwinan tidak akan merugikan pihak isteri. Sebaliknya, bak kata pepatah Inggeris: “What you give, you get back.” Dengan senyuman manja, sentuhan yang lembut, diiringi tutur kata yang sopan bersahaja, pasti dapat menjadi pemangkin buat seorang suami yang pendiam untuk berbicara sepatah dua. Walaupun masa yang diambil mungkin bertahun lamanya, namun usaha yang ikhlas kerana Allah, pasti akan beroleh bantuan daripadanya. Memang tidak mudah, tetapi berkat kesabaran dan mujahadah berserta penyerahan yang tuntas kepada Allah, segala impian akan menjadi nyata, insya-Allah. Ini sifir yang saya yakini ketepatannya. Kalkulator Cinta Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan sesiapa walaupun sedikit. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.” (Surah al-Anbiya’21: 47) Dan Allah berfirman lagi yang bermaksud: “Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkan kepadanya pada hari kiamat sebuah kitab (suratan amal) yang dijumpainya terbuka. Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini menjadi penghitung terhadap dirimu.” (Surah al-Isra’ 17: 13-14) Saya mengakhiri coretan di ruangan Facebook dengan komen balas, berisi sedikit renungan: “Dalam mempersoalkan hak, adalah lebih baik kita (isteri) bertanyakan diri tentang tanggungjawab yang kita telah sedang dan akan diberikan buat yang berhak (suami). Fokus kepada apa yang kita perlu buat sebagai seorang isteri daripada menumpukan kepada apa yang kita patut dapat daripada seorang suami. Bimbangnya andai di akhirat nanti, kita menjadi musuh kepada diri sendiri atas kecuaian dan kelalaian sebagai isteri ketika hayat di dunia ini.” Realitinya, kalkulator cinta suami isteri dalam Islam tidak berkisar sekadar Iuahan cinta dan kata-kata yang indah semata.
Ia tidak terhenti hanya pada kiraan secara lahiriah dan fizikal sahaja, tetapi ukuran cinta yang hakiki adalah berlandaskan takwa, ikhlas dan menuruti sunnah Nabi yang diperakui Ilahi. Keredaan Allah matlamat utama cinta mereka. Walau sekecil mana pun usaha yang dilakukan demi menjamin agar ikatan sedia ada tidak terlerai dan bubar, ia pasti diberikan ganjaran setimpal oleh Yang Maha Esa. Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berhimpun kerana mengasihimu, untuk menunaikan ketaatan kepadamu, bersatu dan berpadu dalam membela syariatmu. Kukuhkan ya Allah ikatannya. Kekalkan cintanya. Tunjukilah jalan-jalanmu. Penuhilah hati-hati ini dengan nurmu yang tidak pernah pudar. Lapangkan dada-dada kami dengan limpahan keimanan dan keindahan bertawakal di jalanmu. Amin ya Rab al-alamin.