≡ Menu

Keluarga dalam Masyarakat Islam

  • Kerja Part-time & Full time diperlukan !! ==>> LIHAT SINI
  • keluarga-islami1
    Agama Islam menggalakkan setiap insan yang sempurna dan berkemampuan untuk mendirikan rumahtangga demi menjaga keharmonian  masyarakat.
     
    Perkahwinan dapat memelihara seseorang daripada zina. Perkahwinan juga dapat menambah umat dan memelihara nasab
    keturunan. Ia telah menjadi sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
     
    Islam telah menggariskan sekitar empat ciri utama pemilihan bakal isteri dan suami.  Pertama carilah yang cantik rupa parasnya.  Kedua. carilah yang mempunyai harta. Ketiga carilah yang baik keturunannya dan keempat, carilah yang beriman. Di antara keempat- empat ciri ini. yang beriman perlu diutamakan. Kebiasaannya, setiap lelaki dan perempuan akan tertarik kepada rupa paras sebelum memikirkan hal-hal lain. Inilah lumrah semulajadi manusia. Bagi pihak orang tua pula, mereka kerap kali memikirkan tentang asal usul dan kewangan bakal menantu. Jarang sekali soal iman dititikberatkan.
     
    Sesungguhnya anjuran Islam ada fadhilatnya. Rupa paras dan harta benda tidak kekal lama. Tetapi iman yang dipupuk dalam hati nurani mampu bertahan walaupun jasad telah dimamah usia. Orang yang beriman lebih tulus hatinya, lebih kuat sabarnya dan lebih mulia tingkah lakunya.
     
    Secara umumnya, sebelum pasangan teruna dara bernikah, segalanya dipandang manis. Kelakuan yang tidak baik biasanya Dipendam sedalam-dalamnya. Si teruna tidak mengetahui keburukan si dara dan sebaliknya.
     
    Semuanya nampak cantik kerana adanya orang ketiga yang sentiasa di samping iaitu syaitan. Tetapi setelah bernikah, apabila syaitan menjauhkan diri, mereka mula nampak perlaku sebenar masing-masing. Maka pada ketika ini, bermacam-macam masalah mula timbul. Itu tidak kena, ini tidak kena.  Akhirnya mahligai bahagia menjadi neraka. Namun begitu, bagi orang yang beriman, segala kerenah dihadapi dengan sabar. Di sinilah kelebihan iman. Sebab itu, Islam menggalakkan anda memilih pasangan yang beriman sebagai kriteria utama pemilihan pasangan hidup agar mahligai bahagia kekal sentosa selamanya. Dalam hal ini Islam hanya mengakui bentuk hubungan yang benar antara lelaki dan perempuan itu ialah dengan melalui perkahwinan yang sah mengikut peraturan agama Islam. Bermula dari perkahwinan ini tanggungjawab sosial dipegang sepenuhnya oleh yang bersangkutan dan yang  mengakibatkan lahirnya satu keluarga. Oleh kerana besarnya tanggungjawab perkahwinan itu, maka kebenaran berkahwin itu sendiri terbahagi kepada empat keadaan walaupun pada asalnya hukum perkahwinan itu adalah harus:
     
    Wajib
     
    Bagi orang yang mempunyai kesanggupan dan kemampuan untuk berkahwin sedangkan ia khuatir dirinya akan terjebak ke lembah maksiat dan kehinaan.
     
    Sunat
     
    Orang yang mempunyai kesanggupan dan kemampuan untuk berkahwin, di samping itu ia  sanggup pula memelihara dirinya dan kemungkinan dari melakukan perbuatan terlarang. Sekalipun demikian melakukan perkahwinan adalah terbaik baginya.
     
    Makruh
     
    Orang yang tidak mempunyai kesanggupan untuk berkahwin. Orang ini dibolehkan juga berkahwin tetapi dikhuatiri tidak dapat mencapai matlamat dan tujuan asal pernikahan itu.
     
    Haram
     
    Orang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin, tetapi jika ia berkahwin diduga akan menimbulkan bahaya kepada isterinya atau berniat jahat seperti ingin menganiaya isterinya. Tetapi terdapat juga sebilangan manusia yang menolak perkahwinan dan  melakukan hubungang luar tabie’ manusia.  Apa yang diutamakan oleh mereka ialah kepuasan nafsu dan kenikmatan yang seketika sahaja. Bahkan ada juga yang menghidupkan kehidupan jahiliah seperti berlakunya pada kaum Lut.
     
    Berkeluarga adalah fitrah setiap manusia. Maka tatkala kaum wanita Barat meneriakkan NOMAR (N0 Married) dan DINK (Double Income No Kids) hancurlah sendi-sendi kekeluargaan. Majalah Times (edisi 28 Jun 1983) mengungkapkan bahwa 40% dari seluruh anak-anak di AS yang lahir antara tahun 1970-1984 menghabiskan masa kanak-kanak mereka tanpa kasih sayang orang tua kerana orang tua mereka bercerai atau kerana orang tua mereka (memang) tidak pernah bernikah. Majalah
    Fortune (edisi 2 September 1995) mengungkapkan banyaknya wanita eksekutif di Barat yang mengalami stress. Mereka merasakan kekecewaan, ketidak puasan dan kekhuatiran, sehingga hidup danj iwa mereka menjadi kacau. Bahkan umumnya mereka mengalami perceraian dan gangguan hubungan sosial dalam keluarga.
     
    Lebih jauh lagi, Jurnal The Economist edisi September 1995 memberitakan fakta bahawa di negara Eropah Utara, institusi keluarga  sedang mengalami keruntuhan. Di Sweden dan Denmark, setengah dari bayi-bayi lahir dari ibu yang tidak bernikah. Setengah dari perkahwinan di Sweden dan Norway berakhir dengan perceraian, dan orang tua yang tidak bernikah lagi kerana sudah bercerai tiga kali lebih banyak dari jumlah perkahwinan.  Akibatnya jumlah orang tua tunggal meningkat  sehingga 18% pada tahun 1991. Istilah “single parent” (orang tua tunggal) dan nuclear family (keluarga inti yang hanya terdiri dari Ayah dan ibu) menggambarkan betapa sepi dan keringnya fungsi kekeluargaan dalam masyarakat moden (Barat).
     
    Dari Dokumen Rencana Aksi pada saat Konferensi Beijing yang lalu (1995) membuktikan berhasilnya tuntutan para ‘feminist’ yang menginginkan kebebasan bagi  wanita dalam menentukan bentuk dan komposisi keluarga (apakah orang tua tunggal atau orang tua dari pasangan sesama wanita),  kebebasan orientasi seksual (apakah heteroseksual ataupun homo seksual) dan kebebasan reproduksi (punya anak atau  tidak). Serta masih banyak lagi suara sumbang kaum ‘feminist’ yang memporak-perandakan konsep keharmonian keluarga dalam suatu masyarakat. Dan kerana semua itu adalah suara kebebasan yang tercetus dari idea kapitalisme (yang rosak) maka tidaklah terlalu menghairankan apabila gerakan’ tersebut mengakibatkan krisis nilai-nilai keluarga bagi masyarakat yang terpengaruh  dengan idealisme-idealisme mereka.
     
    Sesungguhnya dapat disimpulkan, terbinanya syakhsiah manusia dan tamadun berdasarkan insitusi keluarga. lni dapat dilihat dari tamadun Islam yang lalu. Pendidikan dimulai dari rumah dan seterusnya dilanjutkan kepada majal yang lebih besar sama ada dalam masyarakat atau negara.
     
    Akhirnya, sekali lagi ditegaskan perkahwinan atau berkeluarga adalah antara asas terpenting dalam agama Islam. Sememangnya Islam menjaga penganutnya dari terjebak dengan maksiat serta keruntuhan moral. Oleh yang demikian insitusi keluarga amat penting dan beperanan besar dalam membentuk serta menggilap satu masyarakat yang bertamadun dan berakhlak tinggi. Ibnu Khaldun pernah menjelaskan,”ketamadunan sesuatu bangsa itu dinilai daripada kehidupan sosial penduduknya”.
     
    Wallahutaalaa’lam.
    { 0 comments… add one }

    Leave a Comment