≡ Menu

Mendidik dengan Menampar

  • Kerja Part-time & Full time diperlukan !! ==>> LIHAT SINI
  • marah anak
    Siapa daripada anda pernah ditampar oleh guru semasa di sekolah dahulu?” Soalan ini saya ajukan kepada sekelas pelajar kolej tidak lama dahulu.
     
    Saya pun membilang tangan-tangan yang mencacak ke langit. Lapan daripada 17 orang pelajar: “Saya lebih rela dirotan sampai lebam daripada ditampar di muka!” seorang pelajar tanpa segan meluahkan perasaannya. Rakan-rakan senasib dengannya menganggukkan kepala tanda bersetuju.
     
    “Kenapa? Bukankah rotan lagi menyakitkan?”
     
    “Betul. Tetapi ditampar di muka lagi menyakitkan jiwa dan maruah!”
     
    Mereka semua mengakui kesalahan yang dilakukan. Mereka juga akur wajar dihukum, namun tidak dengan penampar.
     
    Hukum Menampar Muka
     
    Geram, kecewa, marah dan sedih membuak-buak di hati setiap kali terpampang laporan akhbar pelajar dilempang guru. Lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan oleh ustaz. Bukannya hendak membela pelajar, tetapi cara itu sememangnya tidak wajar dari segi akhlak mahupun hukum syariat.
     
    Memukul muka dengan apa jua cara atau sebab sekalipun adalah haram di sisi syarak. Peringatan Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu hendak memukul saudaranya, hendaklah dia menjauhi daripada memukul mukanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
     
    Imam Ibn Hajar al-Asqalani menghuraikan: “Termasuk dalam larangan tersebut adalah setiap pukulan ke muka baik dalam hukuman hudud, takzir mahupun mendidik.”
     
    Hadis tersebut membawa maksud umum. Saya juga beranggapan bahawa mencubit di pipi, menjentik hidung termasuk dalam maksud memukul muka.
     
    Terdapat begitu banyak hadis Baginda dalam perkara ini, sabda Rasulullah yang bermaksud: “Apabila kamu hendak memukul hambamu, maka jauhilah muka.” (Riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)
     
    Tidak Menampar di Muka
     
    Sewaktu bersekolah dahulu, saya pernah menyaksikan hukuman menampar muka yang agak “unik” dijalankan. Dua orang pelajar dihukum dan mereka diarahkan untuk saling melempang muka antara satu sama lain.
     
    “Tak cukup kuat, tampar Iagi! Atau awak hendak saya sendiri yang tampar muka kamu?” gertak guru tersebut.
     
    Kami yang berada di kelas menonton secara percuma aksi melempang yang boleh dikira dahsyat itu. Muka ditampar hingga terteleng ke tepi. Kesan bunyi “pang!” menegakkan bulu roma kami semua.
     
    Ketika tamparan pertama dan kedua mereka lakukan, kami masih boleh ketawa geli hati. Namun setelah aksi lempang kali ketiga, kami semua dibaluti perasaan kasihan terhadap kedua-dua rakan kami. Memang patut pun mereka dihukum akibat ponteng kelas, tetapi tiada hukuman lainkah selain menampar di muka?
     
    Apabila diingat-semula babak tersebut, guru yang berdiri pada ketika itu hanya tersenyum dan di tangannya menggenggam sebatang rotan. Wahai guru, jangan mengharap tamparan dapat mencetus keinsafan, bahkan ia membakar dendam.
     
    Imam al-Nawawi ketika mengupas hadis ini dalam al-Minhaj menjelaskan: “Ini ialah tegahan yang jelas tentang memukul muka kerana muka ialah bahagian lembut dan menghimpunkan segala kebaikan. Sementelah padanya terdapat anggota pancaindera yang tidak temilai harganya iaitu mata, hidung mahupun telinga. Sebarang bentuk pukulan boleh merosakkan anggota penting tersebut, menghodohkannya atau hingga menjadikannya cacat. Tambahan pula, kerosakan di muka tidak boleh disembunyikan.”
     
    Dan pada hari ini para doktor mengesahkan bahawa sebarang pukulan atau hentakan di muka lebih-lebih Iagi sekiranya ia kuat dan dilakukan berulang kali akan menggegarkan dan menjejaskan fungsi otak. Pelbagai natijah buruk boleh berlaku antaranya pendarahan dalaman, hilang ingatan dan gila.
     
    Jabir r.a. menceritakan bahawa Nabi terserempak dengan seekor keldai yang dicacah mukanya. Lalu Baginda bersabda yang bermaksud: “Allah melaknati orang yang mencacah mukanya!” (Riwayat Muslim) Masyarakat Arab dahulu mencacah muka haiwan peliharaan mereka untuk mudah dikenali.
     
    Dalam riwayat lain yang bermaksud: “Bukankah sudah kamu ketahui bahawa aku melaknat sesiapa yang mencacah atau memukul muka haiwannya!” (Riwayat Abu Daud)
     
    Kita pun dilarang untuk mengapa-apakan muka haiwan, apatah Iagi manusia sebagai makhluk ciptaan Allah yang paling mulia.
     
    Jangan Senyum Tidak Kena Tempat
     
    Sebagaimana kita tidak mahu ibu bapa agresif, kita juga tidak mahu ibu bapa permisif yang membiarkan anak-anak membuat apa-apa sahaja tanpa had. Atas dasar kasih sayang, anak tidak pernah ditegur. Mereka bertekad untuk tidak menggunakan sama sekali elemen marah dan jauh sekali hendak merotan.
     
    Terdapat sebuah kisah seorang ayah muda dengan anak sulungnya. Pada suatu hari, si anak kecil menginjak-injakkan kakinya. Si bapa menjengah dan rupa-rupanya dia memijak semut. Si bapa pun tersenyum. Begitu juga yang berlaku selang beberapa masa selepas itu bapanya masih tersenyum apabila anaknya memijak seekor ulat gonggok merah sehingga
    hancur.
     
    Si anak itu membesar dengan tabiat suka memijak haiwan. Bagi si ayah, itu tanda anaknya berani. Tetapi bagi orang lain, itu tanda anaknya kering hati. Belalang, kumbang, kupu-kupu atau apa-apa sahaja jenis serangga melata yang ditemuinya akan mati di bawah tapak kasut si anak itu.
     
    Tiba-tiba raungan anak tersebut memecah kedamaian pada suatu petang. Si bapa bergegas mendapatkannya. Sekejap terduduk, terguling dan terloncat-loncat tubuh kecil itu. Rupa-rupanya dia disengat lipan di kaki!
     
    Begitulah natijah yang dibimbangi seperti yang terdapat dalam anaiogi di atas. Sekiranya sikap negatif anak-anak tidak
    ditegur dan diperbetulkan dengan segera, sikap tersebut akan bertambah buruk.
     
    Ada ibu bapa yang hanya tersenyum sekiranya anak kecil mereka membuat kesalahan. Ini akan menggalakkan lagi anak ini mengulangi kelakuan sebegini. Tidak hairanlah sekiranya kanak-kanak ini membesar dengan sikap mementingkan diri, sombong, biadab, dan tidak menghormati orang tua.
     
    Wahai ibu bapa, selamatkan anak-anak. Didiklah mereka dengan sebaiknya. Tegurlah mereka sebelum Allah menegur kita. Marahi mereka sebelum Allah memarahi kita. Hukumlah mereka sebelum Allah menghukum kita melalui anak-anak. Mendidik dengan Rotan Islam tidak melarang hukuman berbentuk pukulan sama sekali. Namun biarlah la kena dengan caranya. Bahkan
    Rasulullah sendiri ada mengesyorkannya, yang bermaksud: “Perintahkan anak-anakmu supaya mendirikan solat bermula pada usia mereka tujuh tahun. Pukullah mereka sekiranya enggan bersolat setelah berumur 10 tahun.” (Riwayat Abu Daud)
     
    Terdapat satu penjelasan menarik dari sudut fisiologi bahawa setelah dirotan, kanak-kanak tersebut akan menjadi lebih cepat memahami apa-apa yang diajar. Ini kerana merotan yang merupakan noxious stimulus atau rangsangan sakit akan meningkatkan firing level saraf-saraf otak yang berfungsi untuk memahami sesuatu. Ketika itu proses pembelajaran benar-benar berlaku dalam otaknya.
    Begitu rencamnya manusia. Ada pelajar yang boleh merangsang otaknya untuk belajar dengan sendiri. Namun tidak kurang juga pelajar yang memerlukan rangsangan daripada orang lain.
     
    Teringat zaman mengaji al-Quran sewaktu kecil dahulu. Kerap juga paha dan tapak tangan ini menjadi tempat mendarat rotan si ustaz. Namun disebabkan rotan itulah juga, al-Quran berjaya dikhatam sebelum darjah enam. Pada hari ini, ustaz itu antara guru yang paling dikenang. Terima kasih kerana merotan.
     
    Justeru, tidak salah memukul atau merotan dengan niat mendidik. Namun bukan sekali-kali dengan menampar atau melempang dan apatah lagi dengan menumbuk. Wajah ialah bahagian termulia ditubuh makhluk termulia; manusia. Jangan berani merendahkan perkara yang Allah muliakan.
     
    Justeru wahai suami, jangan ada terlintas di fikiran untuk menampar wajah suci isterimu. Wahai ibu ayah, jangan terdetik di benak fikiran untuk menampar muka anakmu. Wahai guru, jangan menyimpan hasrat di hati untuk melempang wajah pelajarmu.
    { 1 comment… add one }

    Leave a Comment