Dalam isu kali ini, penulis ingin membawa pembaca meneliti konsep perkahwinan poligami yang sering dikaitkan denagn Islam.
Pernikahan poligami seolah-olah menjadi imej, citra dan wajah depan Islam yang popular dan dikenal umum.
Islam sebagai agama fitrah, dianggap wajar memberi sokongan dan dukungan kepada keinginan dan hawa nafsu manusia untuk mempunyai lebih daripada satu pasangan seksual.
Walau bagaimanapun, poligami dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di Malaysia, kerap pula dikaitkan dengan permasalahan rumah tangga, penganiayaan, cerai-berai dan pertelingkahan yang berlarutan. Perdebatan mengenai poligami sering kali menjadi hangat, dan mewujudkan dua kem yang bertentangan pandangan; antara kem yang sentiasa cuba menegakkan hujah masing-masing.
Apa kata sekiranya perbincangan kali ini, memfokuskan kepada aspek kaitan poligami dengan fitrah manusia, dan bukannya semata- mata dari kaca mata hukum-hakam sahaja?
Hanya Lelaki
Penulis ingin berkongsi pengalaman ketika menjalani fellowship di University of Minnesota, USA pada tahun 2000 yang lalu.
Salah seorang staf wanita berdarah kacukan Irish dan Latino di Jabatan OB-GYN and Women Health, UMN yang ditemui beria-ria mengajukan soalan berikut kepada penulis: “I heard Muslims can practise polygamous marriage, is that right?”(Saya ada dengar, lelaki Islam boleh mempraktikkan perkahwinan poligami, betul?).
Sebaik sahaja saya menganggukkan kepala, dengan senyuman meleret dia terus berkata: “Lucky you! So you can have more than one husband!”(Bertuahnya kamu! Jadi kamu boleh ada lebih daripada seorang suami!).
Saya segera memperbetulkan tanggapannya dengan menjawab: “Oh no, no. My husband can have more than one wife, but I cannot have more than one husband.”(Oh, bukan begitu. Suami saya boleh berkahwin lebih daripada seorang isteri, tetapi saya tidak dibenarkan punya lebih daripada seorang suami).
Mendengar jawapan saya, kenalan baru saya itu berkata: “That is not fair! How can that be? Only your husband can practise polygamy while you can’t? I don’t understand this.’(Itu tidak adil! Bagaimana boleh jadi begitu? Hanya suami kamu yang boleh berpoligami, sedangkan kamu pula tidak boleh? Saya tidak faham semua ini).
Tentu sekali, menurut logik akal rakan saya tadi, Islam bersikap tidak adil terhadap wanita apabila poligami hanya dibenarkan untuk dipraktikkan oleh lelaki sahaja. Apakah pula jawapan yang harus kita berikan kepadanya? Mungkin ada yang bersetuju dengan rasional yang dipakai oleh rakan non-Muslim saya tadi.
Tidak Cukup dengan Satu Pasangan?
Menurut kajian, tabiat semula jadi alam haiwan mamalia berdarah panas, termasuk manusia baik lelaki mahupun wanita sebenarnya tidak cukup dengan satu pasangan seksual. Malahan dikatakan manusia seperti juga haiwan mamalia yang lain, mempunyai nafsu kelamin yang liar dan cenderung bertukar-tukar pasangan.
Jika dilihat dari sudut pandang kesamarataan gender (gender equality), sekiranya lelaki boleh berkahwin lebih daripada satu, maka wanita juga sepatutnya diberi kelonggaran yang sama. Ditambah pula dengan hakikat sejarah yang menunjukkan kecenderungan nafsu kelamin manusia yang semenjak dahulukala telah mengamalkan perkahwinan poligami.
Poligami (ta‘addud al-zawaj) ialah satu perkataan umum yang lazimnya ditakrifkan sebagai perkahwinan yang melibatkan lebih daripada satu pasangan sama ada dalam satu- satu masa (definisi yang lebih popular) ataupun satu persatu dalam tempoh masa tertentu (berkahwin, bercerai dan berkahwin semula beberapa kali selepas itu).
Sementara poliandri khusus menghuraikan wanita yang mempunyai lebih daripada satu pasangan suami dan poligini pula, merujuk kepada status lelaki yang berkahwin dengan lebih daripada seorang wanita. Jelaslah apa yang dibolehkan oleh Islam hanyalah poligini dan bukannya poliandri, melalui ayat ke-3 surah al-Nisa’ yang mafhumnya:
“Dan sekiranya kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil terhadap perempuan yatim, maka nikahilah perempuan (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu khuatir tidak mampu berlaku adil, maka (nikahilah) seorang sahaja…”
Bayangkan sekiranya poliandri dibenarkan untuk dipraktikkan dalam kelompok kita, betapa huru-haranya masyarakat akibat ketidakjelasan dan kekeliman dari sudut nasab keturunan manusia. Penulis pernah membaca satu laporan yang memaparkan mengenai sistem poliandri yang diamalkan di Tibet, di kepulauan Marquesas, Polinesia dan di Bahamas. Sebab utama berlakunya poliandri adalah kerana kurangnya bilangan wanita dalam kelompok tersebut.
Poliandri dibahagikan kepada dua – poliandri fraternal (para suami ialah adik-beradik daripada keluarga yang sama) dan poliandri non-fratenal (suami-suami tidak mempunyai ikatan persaudaraan). Kebiasaannya, anak-anak yang lahir dalam perkahwinan poliandri fraternal akan dikira anak kepada semua lelaki bersaudara dalam keluarga tersebut yang berkongsi isteri yang sama. Sementara penetapa siapakah bapa kepada anak yang lahir dalam perkahwinan poliandri non-fratemal
pula, akan ditentukan oleh si ibu melalui satu ritual kebiasaan dalam kelompok tersebut.
Mencabar Naluri
Selain dari aspek fitrah keinginan berpasangan lebih daripada seorang, poligami juga secara amnya amat mencabar naluri
manusia yang sememangnya tamak haloba dan membuahkan perasaan cemburu yang mendalam. Tiada manusia yang sanggup berkongsi kasih, namun hakikatnya poligami memerlukan pengorbanan yang besar dari sudut perasaan dan emosi.
Dalam pada itu, sekalipun Islam menggariskan perlunya keadilan diterjemahkan dari sudut pembahagian giliran bermalam, makan minum, rumah, pakaian dan perhatian, terpaksa diakui bahawa perasaan kasih sayang hampir mustahil untuk dibahagikan sama rata. Begitu banyak masa, tenaga dan wang ringgit yang terpaksa dicurahkan oleh semua keluarga yang
mengamalkan poligami, dalam menguruskan konflik dan pergeseran akibat emosi dan jiwa yang sentiasa bergolak.
Islam yang begitu menjaga keluhuran nasab dan keturunan manusia, telah menetapkan bahawa poligini sahaja yang dibenarkan. Anak-anak yang lahir daripada beberapa orang wanita yang bersuamikan lelaki yang sama, bolehlah dinasabkan kepada lelaki tersebut. Di bawah suasana dan keadaan tertentu, maka Islam membolehkan perkahwinan poligini diteruskan, dengan syarat ketat terlaksananya keadilan dan tiada sebarang unsur penganiayaan terhadap semua ahli keluarga yang terbabit.
Dalam masa yang sama, Muslimah dididik agar sentiasa menjaga kehormatan diri dan maruah keluarga, tinggi sifat malunya, mendalam kasih sayang dan kesetiaannya kepada seorang lelaki bergelar suami. Fitrah haiwaniyyah yang tidak cukup dengan satu pasangan kelamin dibendung dan dikekang seketat-ketatnya, demi memastikan nasab keturunan anak-anak terpelihara dan tidak tercemar.
We use cookies to ensure that we give you the best experience on our website. If you continue to use this site we will assume that you are happy with it.Ok