≡ Menu

Zina dan Iqrar: Penyabitan Kesalahan (Bahagian 1)

  • Kerja Part-time & Full time diperlukan !! ==>> LIHAT SINI
  • Kini peningkatan kadar zina yang berlaku di kalangan remaja semakin membimbangkan. Peningkatan bilangan kadar anak luar nikah meningkat sehingga kini berada di tahap yang membimbangkan. Penyabitan bagoi kesalahan zina tidaklah dilakukan sewenang-wenangnya. Ulama’ telah menggariskan beberapa cara sebelum seseorang itu dijatuhkan hukuman atas kesalahan zina.

     

    Iqrar [Pengakuan]

     

    Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. (al-Bukhari, kitab al-Hudud):

    “Seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Lelaki itu berkata: “Wahai Rasulullah! Saya telah melakukan zina.” Rasulullah s.a.w. berpaling ke arah lain [yakni seperti tidak melayannya], lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Setelah lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah engkau gila?” Dia menjawab: “Tidak.”  Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: “Adakah engkau telah berkahwin?” Dia menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan (para sahabatnya): “Bawalah lelaki ini pergi dan rejamlah dia.”

    Mengikut riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah engkau bercumbu-cumbu sahaja.” Dia menjawab: “Tidak. Sebenarnya saya telah berzina.”

    Mengikut riwayat yang lain: “Setelah selesai sembahyang, dia (lelaki itu) datang lagi, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidakkah awak telah berwuduk dan telah bersembahyang? Dengannya Allah mengampunkan dosa.” Tetapi lelaki itu terus mengaku berzina dan mahu supaya disucikan dirinya dengan hukuman.

     

    Hadis riwayat Sulaiman bin Buraidah, daripada bapanya (riwayat Muslim, Kitab al-Hudud):

    “Kemudian seorang perempuan dari qabilah al-Ghamidiyah datang mengadap Rasulullah s.a.w. Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah! Sucikanlah diri saya.” Sabda Rasulullah s.a.w. : “Baliklah, beristighfarlah engkau dan bertaubatlah.” Wanita itu berkata lagi: “Adakah engkau mahu melakukan kepada saya seperti yang engkau lakukan kepada Ma’iz bin Malik?” Rasulullah s.a.w. bertanya: “Apakah masalah engkau?” Wanita itu memberitahu bahawa dia sedang mengandung hasil perbuatan zina. Rasulullah s.a.w. bertanya: “Apakah benar?” Wanita itu menjawab: “Ya.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bersalinlah dahulu.”

    • Rahsia suri rumah dapat barang murah setiap hari LIHAT SINI <<==

     

    Wanita itu dijaga oleh seorang lelaki dari kalangan Ansar sehingga bersalin. Kemudian lelaki itu datang menemui Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa wanita itu telah bersalin. Baginda bersabda: “Kita tidak akan merejamnya dan membiarkan anaknya tidak dapat menyusu.” Lalu bangun seorang lelaki dari kalangan Ansar dan berkata: “Biar saya uruskan urusan penyusuannya, wahai Nabi Allah.” Lalu Rasulullah s.a.w. merejam wanita itu.”

     

    Kedua-dua hadis di atas diriwayatkan oelh para ulama hadis dengan riwayat yang sahih dan menjadi dalil dalam kes iqrar [mengaku] berzina. Para ulama telah menyimpulkan daripadanya hukum-hukum yang berkaitan dengan iqrar melakukan kesalahan zina dan liwat.

     

    Syarat-syarat iqrar

    * Orang yang membuat pengakuan itu hendaklah seorang yang baligh dan berakal. Tidak sah pengakuan orang gila, mabuk dan sebagainya, kerana sabda Rasulullah s.a.w. [Abu Daud: Kitab al-Hudud]  “Diangkat qalam daripada menulis amalan kanak-kanak sehingga dia baligh, daripada orang tidur sehingga dia terjaga, dan daripada orang gila sehingga dia sedar.”

    * Pengakuan hendaklah dilakukan dengan pilihan sendiri, tanpa dipaksa, sepeti dipukul, dibelasah, diberi bahan yang menghilangkan ingatan seperti dadah dan sebagainya. Maka tidak sah pengakuan orang yang dipaksa, kerana sabda Rasulullah s.a.w. [Ibn Majah: Kitab al-Talaq] : “Allah mengangkat (memaafkan) kesalahan umatku yang melakukan sesuatu kerana tersalah, terlupa dan dipaksa.”

    * Iqrar [pengakuan] dilakukan secara lisan. Tidak diterima pengakuan dalam bentuk tulisan, pita rakaman dan sebagainya dalam perkara hudud.

    * Iqrar hendaklah dilakukan berulangkali dalam perkara zina dan liwat, iaitu sebanyak empat kali, dalam majlis yang berasingan, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap Ma’iz bin Malik.

    * Iqrar itu dilakukan di hadapan hakim dan hakim pula menunjukkan sikap tidak senang dan berusahan supaya orang yang beriqrar itu tidak mengulangi iqrarnya, kerana bertaubat lebih baik daripada menyerah diri secara iqrar di hadapan pihak yang berkenaan, kerana inilah cara yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

     

    Bersambung ke bahagian 2

    { 1 comment… add one }

    Leave a Comment